Pandangan Keseluruhan

Bahasa Cina Mandarin Barat Daya yang moden terbentuk dengan gelombang pendatang-pendatang yang dibawa ke rantau itu ketika zaman dinasti Ming dan dinasti Qing. Oleh sebab perpindahan yang masih baru lagi, maka perbezaannya tidak banyak dengan bahasa Cina Mandarin standard.

Contohnya, dalam kebanyakan loghat bahasa Cina di selatan, bahasa Cina Mandarin Barat Daya ini tidak mempunyai konsonan retrofleks seperti zh, ch, sh dan r seperti dalam bahasa Cina Mandarin di utara. Walau bagaimanapun, ia juga tidak mempunyai nada masuk seperti dalam bahasa-bahasa Cina sebelah selatan lain.

Loghat Chengdu-Chongqing dan loghat Hubei dipercayai memaparkan aspek dalam bahasa Cina Mandarin yang menjadi lingua franca semasa zaman dinasti Ming. Namun, sesetengah sarjana bahasa Cina percaya bahawa asalnya loghat-loghat tersebut sebenarnya sama dengan bahasa Cina Mandarin di Hilir Sungai Yangtze.

Walaupun, ia adalah sebahagian daripada kelompok bahasa Cina Mandarin, namun bahasa Cina Mandarin ini mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dengan bahasa Cina Mandarin standard. Sehingga tahun 1955, bahasa Cina Mandarin ini dikategorikan bersama dengan bahasa Cina di selatan seperti bahasa Cina Yue (Kantonis), bahasa Cina Wu (Shanghai), dan lain-lain bahasa Cina.

Bahasa Cina Mandari Barat Daya ini dituturkan juga di mukim Kokang di utara Myanmar. Bahasa ini juga menjadi salah satu daripada bahasa rasmi di Negeri Wa, yang merupakan negeri autonomi sendiri yang tidak diiktiraf oleh kerajaan pusat Myanmar di Yangon. Oleh kerana bahasa Wa tidak mempunyai bentuk tulisan, maka bahasa Cina Mandarin Barat Daya dijadikan sebagai bahasa rasmi kerajaan negeri. Sesetengah penutur bahasa ini yang dikenali sebagai China Haw juga terdapat di Thailand. Bahasa ini juga pernah dituturkan oleh etnik minoriti Vietnam di wilayah Lao Cai kerana bahasa mereka tidak sama. Bahasa ini juga menjadi bahasa perhubungan antara etnik minoriti di wilayah Yunnan dan Guangxi di China.